Bukan perintah suami
Baru-baru ini, kemunculan Ina Naim pada sebuah majlis rumah terbuka sambil ditemani suami tercinta Suhaimi Saad dan tiga anak, mengundang perhatian ramai. Mengapa tidak, selepas lama menyepi, Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 29, tiba-tiba tampil dengan imej berpurdah.
Semalam, Ina muncul di Balai Berita, Kuala Lumpur untuk menemani suami mengedarkan album Zikir Selawat & Doa milik Suhaimi. Kesempatan itu diambil HIP bagi mendapatkan perkembangan terbaru dirinya yang mengaku bahagia dengan kehidupan sekarang.
“Saya kini bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Hidup saya tidak sunyi dikelilingi suami dan anak yang sentiasa berada di sisi. Selain menguruskan rumah tangga, sesekali saya menemani suami memenuhi undangan persembahan dan mempromosikan albumnya.
“Ada juga penganjur yang mengundang saya berduet dengan suami, tetapi itu ketika saya belum lagi berpurdah. Kini setelah tampil dengan imej baru, saya menolak daripada mengadakan persembahan di khalayak ramai,” katanya.
Terus bercerita, Ina berkata, dia juga membantu suami mengambil upah mengajar kelas Iqra di kawasan kediaman mereka.
“Kelas itu dibuka sejak 2009. Bagaimanapun, kami hanya mengajar dari Selasa hingga Khamis sebanyak dua sesi iaitu pada sebelah petang dan malam.
“Setakat ini, kami mempunyai belasan pelajar. Tetapi buat sementara waktu, kelas itu ditutup dan kemungkinan besar disambung dalam tempoh terdekat,” katanya.
Tunai niat apabila usia cecah 29 tahun
Bercerita mengenai imej barunya, Ina berkata, selain peminat, ibu bapa dan keluarganya juga terkejut mendapati dia sudah berpurdah.
“Ibu bapa saya terkejut sewaktu kali pertama pulang ke kampung halaman di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor dengan berpurdah,” katanya.
Empat bulan tampil berpurdah, Ina akui semakin selesa dan selamat dengan imej ini. Katanya, niat untuk berpurdah sudah lama terbit dari hatinya iaitu sebaik saja dia dan Suhaimi diijabkabulkan.
“Saya memasang niat hendak berpurdah apabila memasuki usia 29 tahun. Niat itu terbit dari hati saya, bukan atas desakan suami. Kebetulan pula tahun ini, negara kita diancam jerebu yang teruk, jadi suami membelikan kami anak-beranak topeng penutup muka.
“Apabila disarungkan topeng, suami beri cadangan lebih baik saya memakai purdah. Dia terus menjahit purdah untuk saya. Sebaik disarungkan ke muka, saya berasa sangat selesa. Bagaimanapun, sebelum saya nekad dengan keputusan itu, suami minta saya fikir semasak-masaknya kerana bimbang saya akan membukanya suatu hari nanti.
“Sejak memakai purdah, saya berasa lebih selesa dan selamat. Kalau sebelum ini ada saja yang akan menegur, tetapi sejak berpurdah, peminat tidak begitu perasan kewujudan saya kecuali jika saya tampil bersama suami.
“Saya juga berasa lebih selamat hendak ke mana saja bersendirian. Maklumlah kawasan rumah kami ramai warga asing, ada yang sekadar memerhati dan tidak kurang yang mengekori. Sejak tampil begini, tidak ada lagi yang mengusik,” katanya yang bakal tampil berduet dengan suami.
Bagaimanapun, bercerita mengenai album duet itu, kata Suhaimi, perkara itu tidak adakan dilaksanakan dalam waktu terdekat kerana dia mahu memberi fokus kepada album zikirnya yang baru dipasarkan.
No comments:
Post a Comment